GIG 1005 JALINAN
MASYARAKAT
Penulisan Reflektif
Program Jalinan
Masyarakat di Kampong Desa Temuan
Nurul Nadzirah Bt
Sulaiman (MIC170038) Date: 4/5/2018
Semasa
saya berada di semester satu, saya dan rakan sekuliah telah diberitahu oleh
pensyarah, Dr. Puah Suat Moi tentang satu subjek yang akan kami ambil pada
semester dua nanti iaitu subjek jalinan masyarakat. Kami diberikan penerangan
cara dan panduan pelaksanaan yang akan dilakukan untuk subjek ini. Pada
awalnya, kami diberitahu untuk membuat aktiviti servis komuniti selama 30 jam. Kami
boleh melakukan banyak aktiviti dan memperuntukkan beberapa jam untuk setiap
aktiviti itu dan tidak semestinya aktiviti ini perlu dilakukan setiap minggu.
Pada semester dua, Dr. Puah memberikan taklimat yang lebih spesifik sewaktu
kelas pertama subjek jalinan masyarakat ini. Saya berasa terkejut apabila
diberitahu bahawa kami tidak akan melakukan 30 jam aktiviti servis komuniti itu
sebaliknya kami perlu fikirkan satu projek atau program yang perlu kami lakukan
di mana kesan daripada aktiviti itu nanti akan berpanjangan dan bukan untuk
sesuatu tempoh sahaja. Akhirnya, kami semua sebulat suara untuk melakukan
program ini di sebuah kampung orang asli dan objektifnya yang utama adalah
untuk mendedahkan kepada kanak-kanak orang asli betapa pentingnya pelajaran
terutamanya sains. Selepas itu, organisasi unuk program ini ditubuhkan yang
terdiri daripada majlis tertinggi dan beberapa biro. Kami diberikan peluang
untuk memilih biro yang kami inginkan dan saya telah memilih biro penjanaan
dana kerana pada yang sama saya juga berada dalam biro ini di bawah aktiviti
kolej. Kami sekelas juga telah memilih kampung orang asli Desa Temuan Bukit
Lanjan di Gombak sebagai lokasi program kami.
Untuk
biro saya, pelbagai gerak kerja yang kami lakukan. Antaranya selepas mendapat
surat pengesahan daripada pihak atasan, kami terus menghantar email kepada
semua syarikat untuk memohon sponsor. Disebabkan masa yang tinggal hanya sebulan
lebih sebelum tarikh program itu, kami juga banyak menelefon syarikat-syarikat
untuk mendapatkan respon dengan lebih cepat. Tetapi kebanyakan syarikat
mengatakan dana yang mereka ada telah digunakan dan kuota yang digunakan untuk
memberikan sponsor juga telah habis. Sementara itu kami juga mengadakan jualan
baju t-shirts kepada rakan sekelas kami di mana baju itu akan dipakai sewaktu
hari program nanti. Kami juga mengadakan aktiviti “carwash” di sekitar kawasan
fakulti perubatan. “Carwash” sangat membantu kami dalam mencari dana kerana ia
memberikan banyak keuntungan dan kami berjaya mencapai target kami malahan
lebih lagi. Kami berasa sangat bersyukur dan saya dapat menyimpulkan bahawa
kerjasama yang baik yang diberikan oleh setiap ahli kelas kami ini telah
membuahkan hasil. Sebenarnya terdapat sedikit masalah pada hari tersebut di
mana kami mendapat tahu bahawa pelajar dari fakulti alam bina juga turut
mengadakan aktiviti “carwash” di kawasan fakulti perubatan ini. Jadi setelah
berbincang dengan baik, kami telah membuat keputusan dengan membahagikan
kawasan fakulti kepada dua bahagian. Jadi, sama-sama dapat melakukan “carwash”
ini. Tiada pergaduhan yang berlaku di antara kami dan kami dapat
menyelesaikannnya secara rasional.
Dua
hari sebelum program tersebut, kami sekelas telah mengadakan uji kaji ke atas
setiap aktiviti yang akan dijalankan nanti. Ini diadakan untuk memastikan
keberkesanan dan kelancaran setiap aktiviti yang akan dijalankan di sana nanti
supaya tidak akan berlaku sebarang kelam kabut. Sebelum pergi ke Desa Temuan
pada hari ahad, kami semua telah dibahagikan tugas siap-siap untuk dilakukan di
sana nanti. Saya telah memberi nama untuk melakukan tugas gotong-royong dan
menjadi fasilitator untuk sesi Q&A.
Seawal
jam 6.30 pagi kami bangun dan bersiap-siap dan kami perlu berkumpul di terminal
bas ASTAR pada jam 7.15 pagi. Kami pergi ke sana dengan menaiki bas dan masa
perjalanan yang diambil dalam 20-30 minit untuk sampai. Apabila tiba sahaja di
destinasi, semua orang sudah mula sibuk dan fokus pada misi yang besar pada
hari tersebut. Selain itu, kami juga ada sikit kolaborasi dengan pelajar dari
fakulti undang-undang. Sesi pagi itu dimulakan dengan zumba oleh mereka. Pada
jam 9.00 pagi adalah aktiviti daripada kami yang akan berjalan dengan serentak
iaitu gotong-royong, “explorace” dan rakan-rakan dari biro makanan akan menyediakan makanan untuk makan tengah hari
mereka. Setelah selesai aktiviti gotong royong yang saya sertai, saya
menghulurkan bantuan un untuk membantu biro makanan kerana memerlukan tenaga
kerja yang ramai untuk menyiapkannya. Di sini, saya dapat mempraktikkan sifat
tolong-menolong kerana walaupun kerja yang sepatutnya saya buat telah selesai
saya tidak berat hati untuk menolong mereka kerana program ini adalah program
bersama. Kemudian, saya juga telah melihat kanak-kanak orang asli bermain di
setiap “checkpoint” dan pada pendapat saya mereka sangat tertarik dengan
“checkpoint” bola beracun. Saya dapat melihat keriangan terpancar di wajah
mereka tetapi pada masa yang saya juga turut merasa sedih melihat kanak-kanak
itu kerana ada di antara mereka yang sangat kurus dan bertubuh kecil seperti tidak
cukup makan makanan berprotein. Selain itu, terdapat sedikit insiden kecil yang
berluku yang melibatkan pergaduhan antara dua kanak-kanak. Namun dapat
diselesaikan dengan baik antara pihak Desa Temuan dan juga pihak kami sendiri
yang mengajurkan program ini. Selepas makan tengah hari, semua kanak-kanak mula
masuk ke dewan untuk sesi pelajaran secara visual. Kami mendedahkan kepada
mereka demontrasi bahayanya rokok. Kemudian, mereka juga dapat belajar cara
membasuh tangan yang betul untuk mengelakkan daripada sebarang penyakit
berlaku. Selepas sesi ini, kami menyediakan dewan untuk majlis penutup. Dan
pada akhir majlis penutup itu, ramai kanak-kanak berasa gembira dan puas hati
apabila dapat hadiah untuk aktiviti yang mereka sertai pada sesi pagi
itu.Kemudian, kami menangkap gambar ramai-ramai sebagai kenang-kenangan.
Kemudian,
kami bertolak pulang ke universiti. Semestinya kanak-kanak itu sudah mula
dirindui kerana seharian bersama-sama dengan mereka. Walaupun berasa penat,
namun bagi saya ini adalah pengalaman terbaik yang pernah saya dapat sepanjang
saya hidup ini. Bukan sahaja kanak-kanak itu dapat belajar, malahan saya juga dapat
banyak pengajaran daripada kehidupan mereka. Walaupun ada dalam kalangan mereka
yang hidup dalam serba kekurangan. namun mereka masih gembira dan tidak pernah
merungut. Saya juga turut sedar bahawa kita tidak sepatutnya mengabaikan
orang-orang asli ini. Tambahan, mereka merupakan golongan minoriti di
tengah-tengah kawasan bandar. Mereka juga perlu diberikan perhatian terutamanya
dari segi pendidikan kerana pada pendapat saya hanya dengan pendidikan kita
dapat mengubah masa depan menjadi yang lebih baik. Saya juga berasa bersyukur
kerana semua aktiviti dapat berjalan dengan lancar. Ini tidak dapat terjadi
jikau tiadanya organisasi yang baik dan segala persiapan dilakukan dengan rapi
dan teliti sekali. Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada
masa hadapan.
(997 perkataan)
Comments
Post a Comment