GIG1005 SOCIAL ENGAGEMENT
Penulisan Refleksi
Program Jalinan Masyarakat di Kampong
Desa Temuan
Nurul Aina Shazilah binti
Shaharuddin (MIC170036) Date: 4 May 2018
Perjalanan program
ini bermula dan berakhir dengan lancarnya. Kursus Jalinan Masyarakat adalah
merupakan salah satu subjek yang wajib diambil oleh semua mahasiswa dan
mahasiswi dari pelbagai jenis Sarjana Muda di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Subjek Jalinan Masyarakat ini diajar oleh pensyarah yang kami sayangi, Dr. Puah
Suat Moi. Beliau juga bertanggungjawab dalam memimpin dan menguruskan Kursus
Jalinan Masyarakat supaya kami mendapat panduan yang betul dan sempurna.
Misi kursus adalah untuk menggalakkan
para mahasisiwa dan mahasiswi untuk melibatkan diri dalam dunia masyarakat
dengan bersama dalam membantu masyarakat memajukan tahap dari segi sosial,
ekonomi atau pendidikan. Bagaimanakah subjek ini boleh membantu dalam
memastikan perkara itu berlaku? Perkara ini boleh berjaya melalui program yang
kita sendiri akan kendalikan dengan menjana dan mengeluarkan benih-benih idea
yang bernas bagi melibatkan diri dalam kelompok sosial masyarakat. Kami telah
memilih untuk membantu kelompok orang asli kerana ingin membantu mereka supaya
tidak lari dari kemajuan dan ketamadunan pemikiran yang juga berbawa kepada
peningkatan tahap sosial, ekonomi dan pendidikan dalam masyarakat. Kami
memulakan program ini dengan membahagikan pelajar seramai 44 orang kepada beberapa
kumpulan seperti biro multimedia, biro aktiviti, biro makanan, biro dana dan
lain-lain. Saya memilih untuk menyertai biro aktiviti kerana berminat dalam
bersama-sama memikirkan idea dan permainan bersama sebelas ahli kumpulan yang
bertujuan khas dalam memastikan misi kami berjalan dengan lancar. Di dalam biro
ini, kami memperkecilkan lagi kumpulan kepada empat kumpulan yang melakukan
aktiviti yang berlainan. Kami bersama-sama memikirkan idea tentang permainan
dan aktiviti yang sesuai dan penuh dengan unsur keilmuan untuk dianjurkan khas
untuk kanak-kanak orang asli dan ibu bapa mereka.
Dari unsur kewangan program, semua
ini diuruskan sepenuhnya oleh biro dana. Dr Puah Suat Moi telah memberikan
modal awal kepada kami sebanyak tiga ratus ringgit. Selain itu, setiap daripada
kami juga diminta untuk memberikan pinjaman sebanyak lima puluh ringgit bagi
menambahkan modal untuk permulaan projek ini kerana banyak kos perlu
dibelanjakan dan diambil kira contohnya kos pengangkutan, makanan dan
lain-lain. Kemudian, kami bersama-sama mengumpulkan dana dengan membuat
perniagaan mencuci kereta dan motorsikal di kawasan fakulti perubatan. Kami
hanya ditugaskan untuk membasuh kereta dan motorsikal yang mereka telah berjaya
mendapat persetujuan dari pemilik kereta dengan pembayaran. Semasa melakukan aktiviti
tersebut, ramai pelanggan yang bukan hanya berniat untuk kami membasuhkan
kereta, mereka juga berniat untuk menawarkan sumbangan kepada kami. Kami telah
memperoleh lebih kurang RM900 ringgit pada hari itu. Setelah memiliki sumber
kewangan yang cukup, biro aktiviti dapat memulakan tugas mereka. Oleh itu, kami
bermesyuarat dan membeli barang yang berkaitan dengan aktiviti bagi memastikan
semua akan dijalankan pada 29/4/2018 berjalan dengan lancar.
Dua hari sebelum tarikh program, kami
melakukan ‘rehearsal day’ supaya dapat membayangkan dan mengenalpasti masalah
yang akan berlaku pada hari kejadian. Kami melakukan aktiviti ini di dewan
kolej keenam dengan bantuan biro lain yang berlakon sebagai kanak-kanak. Kami
juga mendapat maklum balas dan idea dari biro lain supaya aktiviti ini dapat
menarik perhatian kanak-kanak di sana serta memastikan masa yang ditetapkan
cukup semasa aktiviti berlangsung. Keesokkan harinya, setiap wakil dari
kumpulan kami diminta untuk ke tempat kejadian untuk meneliti dan memilih kawasan
yang sesuai untuk aktiviti yang akan kami jalankan. Saya menjadi wakil bagi
memastikan kawasan yang dipilih sesuai dengan aktiviti ‘hide and seek’. Apabila
tiba di lokasi kejadian, saya agak terkejut kerana banyak pembangunan yang membangun
di kawasan tersebut. Banyak kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan dan
persatuan-persatuan di Malaysia di kawasan itu. Kami juga dapat berkenalan
dengan kanak-kanak di sana. Dengan itu, kami dapat mengambil dan menggunakan
pengenalan itu sebagai langkah awal bagi mengenalpasti cara pergaulan dan
sosial interaksi diantara mereka.
Pada hari kejadian, 29/04/2018, kami
memulakan perjalanan pada 7.00 pagi dari kolej kediaman keenam, kemudian
menunggu bas di kolej kediaman pertama. Kami menaiki bas untuk sampai ke
destinasi, Kampong Desa Temuan. Kami disambut dengan ceria oleh penduduk kampung.
Lebih kurang 30 kanak-kanak mendaftar untuk menyertai program yang kami
anjurkan. Terdapat empat stesen yang mereka perlu redah pada hari itu, iaitu
stesen puzzle,stesen sinking ball, stesen hide and seek dan stesen bola
beracun. Saya merupakan ketua bagi stesen hide and seek. Tetapi, sebelum mereka
meredahi aktiviti-aktiviti tersebut, mereka akan menyertai aktiviti Zumba.
Semasa Zumba berlangsung biro makanan sibuk menyediakan makanan pagi kepada
kepada kanak-kanak dan semua ahli yang terlibat. Selepas selesai makan pagi,
lapan kumpulan pelajar yang telah dibahagikan memulakan perjalanan mereka. Bagi
menjimatkan masa, dua kumpulan dijalankan secara serentak di setiap stesen
dengan dipandu dan dibantu oleh seorang fasilitator di setiap kumpulan. Setelah
mereka selesai melakukan misi dan mngumpul markah di setiap stesen, mereka akan
melihat dua program ilmuan yang berkaitan dengan kesan bahaya rokok dan akibat
tidak mencuci tangan. Semasa hari kejadian, terdapat satu kemalangan yang tidak
dapat dielakkan dan ini telah menyebabkan penukaran jadual program berlaku,
hasil kerjasama dan idea ahli setiap biro, kemalangan yang telah berlaku dan
program yang sedang berlangsung dapat dijalankan dengan lancar.
Program di sana berakhir dengan
penyampaian hadiah dan cabutan bertuah. Kumpulan-kumpulan yang berjaya membawa
dan mengumpul kutipan markah yang banyak telah mendapat hamper. Setelah
selesai, kami simpan kenangan kami melalui gambar yang ditangkap beramai-ramai.
Kami pulang ke kolej kediaman keenam setelah bergotong-royong mengemas semula
barang-barang dan bilik-bilik yang kami telah gunakan. Semasa pulang menaiki
bas, perasaan hiba dan sedih mula menggamit perasaan ketika melihat lambaian
kanak-kanak di sana. Kami bersama-sama berharap agar mereka dapat memahami dan
mempraktikkan apa yang kami telah ajari dan pimpin mereka.
Melalui kursus ini, saya telah
mempelajari bahawasanya, terdapat kelompok masyarakat yang masih berada di
bawah tahap membangun dan memerlukan sokongan serta bantuan dari pelbagai
pihak. Kanak-kanak yang masih kecil seharusnya diasah bakat mereka supaya
mereka lebih mahir dan bersemangat untuk melakukan sesuatu minat mereka bak
kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh yang demikian, saya
yakin bahawa ilmu dan sosial interaksi yang telah dituai oleh oleh kami,
pelajar tahun satu bioperubatan Universiti Malaya meningkatkan tahap
Pendidikan, sosial dan ekonomi dikalangan masyarakat orang asli di Kampong Desa
Temuan, Gombak.
(961 patah perkataan)
Comments
Post a Comment