Nurlyana Sofea binti Md Yusoff (MIC170035)


GIG1005 JALINAN MASYARAKAT
PENULISAN REFLEKTIF
PROGRAM JALINAN MASYARAKAT DI DESA TEMUAN

NURLYANA SOFEA BINTI MD YUSOFF (MIC170037)                                TARIKH: 3 MEI 2018 

  Perjumpaan pertama kami dengan Dr Puah adalah semasa semester 1 lepas. Dr Puah telah memperkenalkan kursus Jalinan Masyarakat ini dengan memberi sedikit penerangan tentang kursus ini. Beliau turut menayangkan beberapa video yang telah dibuat oleh senior-senior kami terdahulu. Melalui pendedahan tersebut, kursus ini telah menarik perhatian saya kerana  ia melibatkan komuniti luar yang berada di sekeliling kita. Setelah semester 2 bermula, kami memulakan pembelajaran kursus Jalinan Masyarakat ini dengan melantik ahli jawatankuasa tertinggi yang akan memimpin kami sepanjang projek Jalinan Masyarakat ini berlangsung. Saya pula telah memilih biro makanan dan tugas-tugas khas sebagai skop kerja yang akan saya lakukan di sana. Setelah beberapa minggu perbincangan dilakukan bersama Dr Puah, akhirnya kami telah membuat keputusan untuk menjalankan projek ini di perkampungan Orang Asli, Desa Temuan. Kami telah memilih perkampungan ini kerana ia selaras dengan objektif kami iaitu untuk membekalkan ilmu pengetahuan kepada anak-anak orang Asli yang kurang pendekatannya kepada pentingnya ilmu pengetahuan dalam hidup kita.
  Beberapa minggu sebelum projek sebenar, 9 orang daripada kami telah melawat ke perkampungan orang Asli, Desa temuan untuk mengajak dan memberi pendedahan kepada penduduk di sana tentang projek besar kami pada 29 April nanti. Saya juga tidak melepaskan peluang untuk membantu mengajak mereka dengan mengedarkan risalah. Kami juga telah menyediakan pelbagai jenis permainan dan beg hadiah yang pastinya akan menarik perhatian kanak-kanak kerana mereka adalah fokus utama kami. Melalui permainan yang telah kami sediakan, kami hanya mampu berharap agar mereka akan menjadi tertarik untuk menyertai projek Jalinan Masyarakat kami nanti. Pada mulanya, saya agak risau akan sambutan yang akan ditunjukkan oleh mereka. Tambahan pula, hanya 9 orang daripada kami yang ada di sana. Namun begitu, respons kanak-kanak di sana amat memberangsangkan. Malah, ada yang turut mengajak rakan-rakan mereka untuk menghadiri khemah kami dan ada juga yang datang berkali-kali untuk bermain permainan yang telah kami sediakan. Walaupun begitu, perkara yang mengejutkan saya ialah terdapat beberapa kanak-kanak yang sudah berumur 13 tahun dan ke atas namun masih tidak boleh membaca. Situasi ini telah memberi kesedaran kepada saya bahawa masih ramai kanak-kanak di luar sana yang memerlukan pendedahan kepada kepentingan ilmu pengetahuan. Lawatan ke sana telah memberi pengalaman baru kepada saya kerana ia adalah kali pertama saya melawat perkampungan orang Asli.
  Dua hari sebelum projek, saya dan beberapa orang ahli biro makanan telah pergi ke pusat membeli-belah untuk membeli beberapa barang dan makanan. Saya amat terkejut kerana kami telah menghabiskan hampir RM600 untuk membeli barang dan makanan sahaja. Saya juga agak tidak bersetuju apabila mendapat tahu yang kami seharusnya membawa makanan dan tidak pergi dengan hanya tangan kosong. Pada pendapat saya, itu sepatutnya bergantung kepada kami dan bukan atas pilihan mereka. Namun begitu, ia tidak menghapuskan niat saya untuk membantu mereka. Keesokan harinya, saya dan beberapa orang rakan lain telah keluar untuk membeli roti sebagai sarapan pagi semasa hari kejadian nanti. Pada waktu malam tersebut, kami semua saling membantu dalam membalut hamper sebagai hadiah bagi mereka yang akan memenangi pertandingan eksplorasi yang telah disediakan oleh biro aktiviti.
  Pada hari kejadian, kami berkumpul di stesen bas Kolej Kediaman Pertama pada jam 7.15 pagi dan mula bergerak dari Universiti Malaya pada jam 8.00 pagi. Setibanya kami di sana, saya dan ahli biro makanan yang lain mula bergerak ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi dan sandwich untuk penduduk di sana. Beberapa orang ibu di sana turut membantu kami menyediakan dua jenis sandwich iaitu sandwich telur dan sardin. Hampir 220 roti dan 220 sandwich telah kami sediakan kepada kanak-kanak di sana. Semasa penyediaan sandwich, ada di antara kanak-kanak di situ yang seronok berkaraoke mengikut lagu yang dipasang. Sesungguhnya, kanak-kanak di situ amat periang dan menghiburkan hati.  Walaupun begitu, apa yang amat mengecewakan saya ialah tidak sampai seratus orang kanak-kanak yang hadir ke projek kami. Oleh itu, banyak pembaziran telah berlaku kerana kami telah menyediakan makanan mengikut bilangan yang telah diberitahu. Tambahan pula, terdapat kanak-kanak yang tidak mengambil makanan mereka.
  Setelah selesai kerja kami di dapur, kami menyertai yang lain di dewan. Banyak aktiviti yang telah disediakan dan kanak- kanak di situ terlihat sungguh gembira bermain bersama fasilitator. Sesungguhnya, amat sukar untuk mengawal mereka kerana mereka sangat aktif.  Antara aktiviti yang telah kami sediakan ialah ceramah kerjaya dan persembahan drama yang menunjukkan betapa pentingnya menjaga kesihatan. Semasa majlis penutup, hadiah dan cabutan bertuah telah diberikan kepada pemenang dan sepanjang majlis penutup itu, ada seorang kanak- kanak yang tidak lepas dari riba saya. Kebanyakan daripada mereka amat manja dan suka untuk diangkat. Namun begitu, saya suka akan sifat manja mereka kerana ia menunjukkan yang mereka telah berasa selesa dengan kami walaupun kami orang luar. Tamat sahaja majlis penutup, kami bersama semua kanak-kanak mengambil beberapa gambar sebagai kenangan. Sesungguhnya, projek ini adalah salah satu pengalaman terbaik saya kerana saya tidak mempunyai banyak peluang untuk berbakti kepada komuniti luar dan yang paling manis sekali adalah masa yang telah saya luangkan bersama kanak-kanak di sana. Saya juga amat berharap agar kanak-kanak di sana turut bergembira dan mendapat banyak pengetahuan baru melalui projek kami.
  Melalui projek Jalinan Masyarakat ini, banyak pengajaran yang telah saya pelajari. Sebagai contoh, kerjasama dalam ahli kumpulan amat penting agar kerja dapat dilakukan dengan lebih cepat dan hasilnya juga dapat memuaskan hati semua. Selain itu, ilmu pengetahuan juga amat penting kerana dengan ilmu, masa hadapan kita akan menjadi lebih cerah. Jika projek ini akan diadakan pada masa hadapan, saya ingin menyertai biro lain seperti biro aktiviti untuk menambahkan pengalaman baru. Banyak lagi yang perlu saya belajar dalam berkomunikasi dengan masyarakat di luar sana. Harapan saya adalah supaya projek seperti ini sentiasa berterusan kerana ia dapat memberi pendedahan kepada pelajar seperti saya tentang kehidupan di luar kampus. Saya telah belajar banyak perkara melalui projek seperti ini.
 (936 patah perkataan)

Comments