GIG
1005 JALINAN MASYARAKAT
Penulisan
Reflektif
Program
Jalinan Masyarakat di Desa Temuan
Nur Jasmin binti
Khasanudin (MIC170031)
5 Mei
2018
Jalinan Masyarakat (Social
Engagement) merupakan subjek universiti yang perlu bagi semua pelajar. Pada
mulanya saya tidak tahu apa yang perlu kita belajar dalam subjek ini. Kini,
saya tahu subjek ini merupakan subjek yang memerlukan pelajar untuk melakukan
aktiviti sukarelawan bersama komuniti. Kami, pelajar dari program Sains
Bioperubatan telah memilih Kampung Desa Temuan, Bukit Lanjan, Selangor sebagai
tempat untuk program jalinan masyarakat ini.
Sebelum kami memilih tempat,
kami telah mengadakan perbincangan untuk memilih tempat untuk jalinan
masyarakat ini. Terdapat banyak tempat yang dicadangkan, tetapi kami lebih
berminat untuk mengadakan program ini di
kampung orang asli. Kami juga telah melantik majlis tertinggi dan ketua biro
berdasarkan undian majoriti. Selepas itu, kami dibahagikan kepada beberapa
biro. Saya merupakan biro aktiviti dan protokol. Kemudian, kami, biro aktiviti
telah berbincang aktiviti yang akan dijalankan pada hari kejadian. Banyak idea
yang dicadangkan antaranya, explore race, puzzle dan sebagainya. Saya berasa
gembira ketika sesi perbincangan itu kerana semua ahli biro aktiviti sangat
aktif dan sentiasa memberi idea-idea yang menarik untuk program ini. Sebulan
sebelum bergerak ke Kampung Desa Temuan, kami telah mencapai persetujuan
mengenai aktiviti dan ‘game’ yang akan diadakan ketika program berlangsung.
Kami juga telah dibahagikan berdasarkan aktiviti yang akan diadakan. Saya dapat
fasilitator bersama beberapa orang ketika program itu. Saya berasa gementar
kerana saya tidak pernah menjadi fasilitator untuk kanak-kanak. Ketika sekolah
dahulu, saya pernah menjadi fasilitator untuk pelajar baharu iaitu pelajar
tingkatan satu. Menjadi fasilitator untuk kanak-kanak dan pelajar dari sekolah
menengah sangatlah berbeza kerana pelajar dari sekolah menengah mudah untuk
diuruskan jika dibandingkan dengan kanak-kanak kerana sesetengah kanak-kanak
tidak memahami arahan. Hal ini merupakan cabaran yang akan saya hadapi ketika
hari kejadian terutamanya cara berinteraksi dengan kanak-kanak orang asli. Pada
mulanya, saya berasa gementar untuk menjadi fasilitator tetapi saya terima
untuk menjadi fasilitator sebagai pengalaman baru.
Seminggu sebelum bergerak ke
Desa Temuan, kami biro aktiviti telah mengadakan perbincangan untuk aktiviti
explore race dan eksperimen mini. Antara aktiviti di dalam explore race ialah
bola beracun, ‘hide and find’, ‘sinking bowl’ dan ‘puzzle’. Kami berbincang dan
ahli-ahli yang terlibat menerangkan bagaimana aktiviti mereka dijalankan.
Selepas beberapa perbincangan dan penambahbaikan, kami bersurai. Pada 27 April
2018, kami mengadakan ‘test run’ bersama semua pelajar Sains Bioperubatan untuk
memastikan aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan berjalan lancar. Saya berasa
gembira kerana semua pelajar ada turut serta dalam ‘test run. Selepas ‘test
run’, kami berbincang semula dengan semua pelajar untuk memperbaiki lagi aktiviti
kami. Kemudian, semua pelajar membantu biro makanan untuk membalut hamper dan
hadiah. Perkara ini menunjukkan semangat kerjasama dan berpasukan dalam kalangan
pelajar.
Pada 29 April 2018, kami semua
telah bergerak ke Kampung Desa Temuan pada pukul 8 pagi dengan menaiki bas.
Saya berasa gembira dan gementar untuk bertemu dengan masyarakat orang asli di
sana kerana saya tiada pengalaman berada di perkampungan orang asli dan tidak
pernah berinteraksi dengan mereka. Sesampainya di sana, apa yang saya bayangkan
mengenai perkampungan orang asli sangatlah berbeza dengan apa yang saya lihat.
Kampung Desa Temuan sangatlah cantik dan kebanyakan rumah mereka merupakan
rumah yang diperbuat dari batu. Kemudian, kami turun dan bawa barang-barang ke
tempat yang sepatutnya. Ketika itu, terdapat ramai kanak-kanak yang sudah
sampai awal daripada kami. Mereka nampak sangat teruja ketika kami sampai dan
menyambut kedatangan kami dengan gembira. Kami menyusun barang-barang mengikut
tempat yang disediakan. Biro aktiviti pula menyusun barang untuk explore race
di stesen masing-masing. Sebelum explore race bermula, sesi zumba telah
diadakan diketuai oleh pelajar-pelajar dari fakulti undang-undang. Masyarakat
di situ turut berzumba. Selepas itu, kanak-kanak berkumpul untuk sesi
pendaftaran megikut umur dan dibahagikan kepada 8 kumpulan. Kemudian, aktiviti
explore race bermula dan saya sangat gembira kerana kanak-kanak dalam kumpulan
saya memberi kerjasama dan semuanya bersemangat dalam explore race kerana saya
memberitahu ada hadiah besar yang menanti mereka. Walaupun mereka terdiri
daripada pelbagai umur, mereka menunjukkan semangat dan bekerjasama untuk
memenangi setiap aktiviti yang ada dalam explore race. Selepas sesi explore
race tamat, kami bermain bersama-sama kanak-kanak di situ dan berkaraoke.
Mereka turut menyanyi dan bergembira bersama kami. Pada pukul 12 tengah hari,
mereka semua berkumpul di dalam dewan untuk sesi eksperimen mini mengenai
keburukan merokok dan cara membasuh tangan dengan betul. Mereka menunjukkan
minat untuk menyaksikan eksperimen mengenai keburukan merokok kepada tubuh
badan. Selepas itu, mereka juga menunjukkan minat ketika kami ajar untuk membasuh
tangan dengan betul dengan menyanyi lagu ‘selamat hari jadi’. Kemudian, selepas
sesi tersebut kami berkumpul semula dalam kumpulan untuk sesi ceramah kerjaya
dan charades. Ketika sesi charades, mereka masih lagi bersemangat untuk bermain
dan aktif untuk menjawab soalan yang diberikan. Semasa sesi ceramah kerjaya,
kebanyakan mereka ingin menjadi bomba dan polis dan ini menunjukkan mereka
berminat tentang kerjaya walaupun mereka tidak tahu banyak mengenai kerjaya
lain. Selepas sesi ceramah kerjaya, semua kanak-kanak berkumpul di tengah dewan
untuk aktiviti kerusi berirama sementara menunggu ketibaan VIP. Mereka masih
lagi bersemangat dan berebut kerusi untuk menang. Selepas itu, tibanya VIP
menunjukkan majlis penutup akan bermula. Kanak-kanak dan ibu bapa mereka turut
hadir ketika majlis itu. Mereka berdisiplin ketika VIP tiba dan menghormati
majlis penutup dengan senyap sepanjang majlis bermula. Ini menunjukkan mereka
sangat menghormati majlis walaupun mereka masih lagi kanak-kanak dan saya
sangat bangga akan mereka. Sebelum majlis berakhir, kami mengadakan cabutan
bertuah dan memberi hadiah untuk setiap kumpulan explore race. Mereka sangat
gembira menerima hadiah walaupun hadiah kami tidak seberapa.
Berakhirnya cabutan bertuah, maka berakhirlah
program di Kampung Desa Temuan oleh pelajar Sains Bioperubatan pada tahun 2018.
Kami pulang dengan pengalaman dan kenangan dari kampung tersebut. Walaupun
penat, tetapi kami gembira dan berpuas hati dengan program yang kami uruskan
sendiri dengan bantuan Dr. Puah sebagai penasihat kami. Terdapat banyak
pengalaman yang saya dapat dari projek ini, dan semestinya saya akan terlibat
dengan aktiviti sukarelawan seperti ini pada masa akan datang. Walaupun penat
dengan persediaan yang banyak sebelum program berlangsung, tetapi akhirnya
membuahkan hasil yang berbaloi. Banyak pengalaman yang berguna dan kenangan
yang indah dari projek ini dan sambutan hangat dari masyarakat di Desa Temuan. Akhirnya,
saya berharap agar program seperti ini dapat dijalankan pada masa akan datang
dan mendatangkan manfaat kepada generasi seterusnya.
(988
pp)
Comments
Post a Comment