GIG1005
JALINAN MASYARAKAT
Penulisan
Reflektif
Kampung
Orang Asli Desa Temuan
Khairunnisa Nabilah Binti
Zainuddin (MIC170017) Tarikh: 4 Mei 2018
Jalinan masyarakat
merupakan subjek yang sangat asing bagi saya. Pada awalnya, Dr Puah Suat Moi
iaitu pensyarah dan penasihat Jalinan Mayarakat telah datang berjumpa dengan
saya dan rakan-rakan pada akhir sem 1 untuk memperkenalkan dan menerangkan
mengenai subjek ini. Pada waktu itu, saya telah dilantik menjadi salah seorang
ketua kumpulan dan telah diarahkan untuk merancang idea awal agar projek ini
dapat dijalankan dengan mudah pada sem 2 akan datang. Maka, sepanjang cuti sem,
pelbagai idea projek telah saya rancangkan. Walau bagaimanapun, apabila sem 2
tiba, kami telah diberitahu bahawa silibus telah berubah. Oleh itu, pembubaran
kumpulan serta pelantikan ahli jawatankuasa yang baharu dilakukan dan saya
telah memilih untuk menjadi ahli biro dana dan tajaan.
Sejak awal, saya berasa
amat teruja untuk menjayakan projek ini. Kami semua telah berbincang dan
bersetuju untuk ke Kampung Orang Asli Desa Temuan. Projek ini bertujuan untuk
memberi pendedahan kepada masyarakat orang asli mengenai ilmu pengetahuan
seperti bahayanya merokok, cara-cara untuk menjaga kebersihan dengan sebaiknya
dan serba sedikit pengetahuan am melalui aktiviti yang menarik. Ini merupakan
pengalaman pertama saya menjejakkan kaki di kampung orang asli dan berhubung
dengan mereka secara dekat. Walaupun teruja, saya agak risau jika projek ini
tidak dapat dijalankan dengan sempurna seandainya masyarakat orang asli ini
tidak terima masyarakat luar ataupun jika kami tidak mampu menyediakan segala
keperluan yang bakal menggunakan duit yang banyak. Meskipun begitu, segala
perancangan tetap diteruskan. Sebagai ahli biro dana dan tajaan, saya dan
rakan-rakan sekumpulan telah berbincang mengenai cara-cara untuk mendapatkan
dana dan tajaan secara meluas. Maka, kami telah berhubung dengan beberapa
syarikat untuk memperoleh dana tetapi malangnya, saya berasa agak kecewa kerana
kami tidak berjaya untuk mendapatkan dana daripada mana-mana pihak. Pada masa
yang sama, kami juga bercadang untuk mengadakan jualan baju untuk semua pelajar
Tahun 1 Sains Bioperubatan dan menggunakan baju tersebut pada hari projek ini
dijalankan. Pelbagai reka bentuk baju telah kami sediakan dan atas persetujuan
ramai, salah satu reka bentuk telah dipilih. Saya telah ditugaskan untuk
mencari kedai dan membuat tempahan baju tersebut pada harga yang murah dan
berpatutan. Mujurlah saya ada mengenali seorang rakan yang sedang menjalankan
bisnes percetakan baju, maka saya telah berurusan dengannya untuk tempahan baju
ini. Seterusnya, kami juga telah mengadakan aktiviti mencuci kereta di tempat
letak kereta di Fakulti Perubatan pada 6 April 2018. Aktiviti ini telah melibatkan
semua pelajar Tahun 1 Sains Bioperubatan. Di atas usaha serta kerjasama semua
pelajar, biro dana dan tajaan telah berjaya memperoleh untung yang sangat
banyak melalui aktiviti mencuci kereta serta jualan baju ini. Dengan ini, saya
berasa lebih yakin bahawa kami semua boleh menjayakan projek ini dengan baik.
Pada 29 April 2018, saya
berasa sangat teruja untuk bertemu dengan masyarakat orang asli Kampung Desa
Temuan, Apabila kami tiba di Kampung Desa Temuan seawall 8.15 pagi, saya dapat
melihat kanak-kanak orang asli yang sangat teruja dan mereka menghargai serta menyambut
baik kehadiran kami. Pada mulanya saya menjangkakan kanak-kanak ini sangat
susah untuk menerima masyarakat luar, ternyata pandangan saya meleset sama
sekali. Aktiviti pertama yang dilakukan di sana ialah aktiviti zumba yang
dikoordinasikan oleh pelajar perundangan Universiti Malaya. Kami telah
bekerjasama dengan pelajar perundangan untuk sesi zumba serta aktiviti gotong-royong
di sekitar Kampung Desa Temuan ini. Kami telah dibahagikan kepada 3 tugasan iaitu
sebagai fasilitator, menguruskan makanan serta membantu pelajar perundangan
melakukan aktiviti gotong-royong. Saya mengambil keputusan untuk menjadi
fasilitator kerana saya ingin berhubung dengan rapat bersama kanak-kanak orang
asli agar saya dapat memahami budaya mereka dengan lebih baik. Sesi pendaftaran
serta pembahagian kumpulan dijalankan terlebih dahulu sebelum kami meneruskan
sesi pertama kami iaitu ‘explorace’. ‘Explorace’ ini bertujuan untuk memberi
sedikit pendedahan mengenai pengetahuan am kepada kanak-kanak orang asli ini.
Apa yang saya dapati adalah mereka sangat bijak berinteraksi dan sentiasa
bekerjasama sepanjang sesi ini berlangsung. Mereka sangat aktif dan menunjukkan
minat yang sangat tinggi untuk mengikuti permainan yang kami sediakan. Sikap
dan minat yang mereka tunjukkan ini adalah sesuatu yang baik di mana mereka
bersikap terbuka untuk menerima sesuatu yang baharu terutamanya dari masyarakat
luar seperti kami. Saya berasa sangat gembira apabila melihat keriangan dan
keterujaan di wajah kanak-kanak orang asli ini. Pada waktu rehat tengahari,
tanpa diduga, berlaku sedikit pergaduhan antara 2 orang pelajar lelaki sehingga
mengakibatkan berlakunya kecederaan. Walau bagaimanapun, keadaan terkawal
apabila terdapat pihak orang asli serta guru besar pelajar terbabit datang
untuk mengurangkan ketegangan pada waktu itu. Pelajar yang tercedera itu telah
segera dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk mendapatkan rawatan.
Kemudian, sesi berikutnya diadakan iaitu demonstrasi bahayanya merokok serta pendedahan
mengenai cara-cara membasuh tangan dengan betul. Berdasarkan pemerhatian saya,
saya mendapati bahawa mereka kurang menjaga kebersihan diri mereka. Maka,
pendedahan mengenai kebersihan diri ini merupakan sesuatu yang signifikan buat
mereka. Kemudian, sesi ceramah kerjaya diteruskan di mana saya mendapati mereka
semua mempunyai cita-cita yang tinggi seperti doktor, polis dan arkitek. Pada
saya, hal ini merupakan sesuatu yang sangat bagus di mana mereka menunjukkan
minat untuk bekerja di luar dari kawasan dan budaya mereka. Hal ini akan dapat
membantu membawa masyarakat orang asli ke arah kemodenan kelak. Akhirnya, pada
sebelah petang, majlis penutup telah diadakan. Sesi penyampaian hadiah dan
cabutan bertuah merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan oleh semua masyarakat
orang asli ini.
Tidak dinafikan bahawa
hari tersebut merupakan hari yang sangat memenatkan buat saya. Namun, saya
berasa amat bersyukur kerana dapat menyertai projek sukarelawan seperti ini di
bawah subjek Jalinan Masyarakat. Saya berasa sangat gembira dan senang hati melihat
keceriaan dan keterujaaan yang ditunjukkan di wajah kanak-kanak orang asli
tersebut. Ternyata, mereka tidaklah terlalu kolot seperti apa yang disangkakan,
malah mereka hanya memerlukan sedikit pendedahan mengenai kebersihan diri.
Objektif projek ini telah dicapai, dan saya ingin berterima kasih kepada subjek
Jalinan Masyarakat kerana telah memberi peluang kepada saya untuk menjadi
sukarelawan membantu masyarakat orang asli di Kampung Desa Temuan. Saya
berharap agar ilmu yang telah kami sampaikan kepada kanak-kanak orang asli itu
sangat bermanfaat buat mereka dan semoga mereka menjadi insan yang berjaya
kelak. Kanak-kanak ini merupakan generasi yang sangat penting buat masa hadapan
kampung tersebut agar terus maju dan berkembang dengan baik. Saya berharap agar
saya dapat menyertai aktiviti sukarelawan seperti ini lagi pada masa yang akan
datang.
(1000 patah perkataan)
Comments
Post a Comment