GIG1005 Jalinan Masyarakat
Penulisan Reflektif
Program Jalinan Masyarakat di Kampung Desa Temuan
Aliya Nur Syakira Binti Ghazali (MIC170005) Tarikh: 30 April 2018
Apabila kami mendapat tahu bahawa kami akan menjalankan
projek Jalinan Masyarakat di sebuah kampung Orang Asli, saya berasa gementar
kerana saya tidak pernah melawat mana-mana kampung Orang Asli apalagi berinteraksi
dengan mereka. Terdapat pelbagai kemusykilan kerana saya memang tidak tahu
keadaan hidup mereka bagaimana dan bagaimana mereka akan menerima kedatangan
orang luar. Saya juga telah melahirkan kekhuatiran kerana risau penduduk di
situ, lebih-lebih lagi kanak-kanak di situ, tidak akan menunjukkan minat
terhadap aktiviti-aktiviti yang akan kami kendalikan. Semua pelajar dibahagikan
kepada biro-biro tertentu dan saya diserap masuk ke dalam Biro Publisiti, Multimedia
dan Teknikal. Lagi sekali, saya dikehendaki untuk melakukan kerja-kerja yang
saya tidak pernah buat. Walaupun saya risau tidak dapat untuk membuat kerja
dengan baik kerana kekurangan pengalaman, saya telah berazam untuk memberikan
kerjasama yang penuh dan belajar kemahiran baru.
Sepanjang persiapan menuju hari projek, biro kami
terlibat dengan mengambil gambar, video, menyunting bahan-bahan, menyediakan
banner, bunting dan risalah. Saya telah diberikan kepercayaan bersama ‘Izzah
untuk menyediakan risalah. Walaupun ini merupakan kali pertama kami membuat
risalah, kami bersyukur kerana risalah yang kami buat telah diterima dan
kemudian dihantar untuk dicetak. Risalah tersebut telah dicetak dan diedarkan
kepada kanak-kanak di kampung itu untuk mempromosikan aktiviti kemasyarakatan
yang akan kami jalankan pada 29 April. Selain itu, saya dapat mempelajari cara-cara
untuk mengambil gambar. Ini telah memupuk minat saya terhadap kerja-kerja
multimedia dan teknikal. Walaupun biro ini merupakan biro yang kebanyakannya
bekerja di sebalik tabir dan mungkin tidak diketahui orang lain, saya gembira
kerana diberi peluang untuk menyertai biro ini walaupun pada awalnya saya
khuatir tidak dapat menjalankan kerja dengan baik.
Persiapan yang menyeluruh telah dilakukan menuju hari
yang dinanti-nantikan. Pada 29 April, kami telah mendapat sambutan yang
menggalakkan daripada kanak-kanak di Kampung Desa Temuan. Saya telah memilih
untuk menjadi fasilitator supaya dapat berinteraksi dengan kanak-kanak di situ.
Semasa menjadi fasilitator saya ditugaskan untuk menjaga sebuah kumpulan
kanak-kanak sepanjang hari. Perkara pertama yang membuatkan saya rasa dihargai
apabila mereka telah memanggil kami semua dengan panggilan ‘cikgu’. Walaupun
kami mungkin sebenarnya tidak layak untuk diberi gelaran ‘cikgu’, mereka tetap
memanggil kami dengan panggilan tersebut. Mereka berusaha untuk belajar
nama-nama kami yang ada di situ. Pada mulanya ada kanak-kanak yang masih malu
untuk mendekati kami, tapi apabila kami sudah memulakan perbualan, mereka
lama-lama telah menjadi rapat dengan kami. Walaupun ada yang nakal sedikit, ada
yang terlalu rapat sehingga tidak boleh berenggang, setiap kanak-kanak telah
memberikan memori yang sangat indah.
Sebelum ini, saya tidak pernah bertemu dengan kanak-kanak
yang begitu menghargai kehadiran saya, sehingga tidak mahu melepaskan tangan
mahupun berenggang. Seorang kanak-kanak di dalam kumpulan saya telah berkata
kepada rakan-rakannya yang sedang bergaduh agar menghentikan perbuatan mereka
sebagai tanda menghormati ‘cikgu’, yang merujuk kepada saya. Saya berasa
terharu kerana perbuatannya telah menunjukkan bahawa dia menghargai dan
menghormati saya sebagai ‘cikgu’. Ketika program tersebut, walaupun kami
bekerja di bawah biro masing-masing, kami semua telah bekerjasama dan saling
menolong. Setiap daripada kami pandai berinteraksi dengan kanak-kanak mengikut
cara masing-masing. Walaupun kebanyakan kanak-kanak di sini masih kecil, banyak
benda yang saya dapati dan belajari semasa bergaul dengan mereka. Saya belajar
bagaimana mereka melihat dunia ini dan perasaan mereka terhadap kami. Ketika
saya menemu ramah Encik Azman juga, beliau menyatakan penghargaan kepada kami
kerana telah menjalankan projek sebegini. Lagi sekali ketika saya diberi
kepercayaan untuk menjadi penemu ramah, saya menjadi gementar tetapi berasa
lega apabila sesi itu berjalan dengan lancar dan Encik Azman turut memberi
respons yang sangat baik.
Apa yang saya dapat setelah berinteraksi dengan mereka
ialah mereka merupakan kanak-kanak yang bijak dan mempunyai keinginan yang
tinggi untuk belajar. Mereka menyertai semua aktiviti yang kami jalankan serta
menunjukkan minat yang menjalankan apabila kami menjalankan demonstrasi
keburukan merokok dan cara-cara membasuh tangan dengan betul. Disebabkan
kebanyakan mereka masih kecil dan berada di peringkat sekolah rendah, mereka senang
menerima apa-apa yang diajarkan kepada mereka. Mereka layak diberikan
pendedahan dan ilmu yang sepatutnya kerana masa depan mereka masih boleh
dicorakkan dengan baik. Adalah lebih baik jika mereka diberi peluang yang luas
untuk mencapai cita-cita mereka kerana apa yang saya dapati ketika sesi
perkongsian bersama mereka, ada yang ingin menjadi bomba, askar, kontraktor,
cikgu dan sebagainya. Apabila mereka diberi peluang, pasti mereka akan dapat
melihat cita-cita mereka menjadi realiti.
Bekerja dengan pelajar-pelajar Sains Bioperubatan yang
lain telah memberi peluang kepada kami untuk melihat kelebihan dan kelemahan
masing-masing. Dengan ini, kami dapat menggunakan kelebihan dan kelemahan yang
ada pada diri untuk bekerjasama dan menjayakan program ini. Walaupun ada
aktiviti-aktiviti tidak dapat dijalankan mengikut perancangan kerana hal yang
tidak dapat dielakkan, para pelajar cekap mengendalikan kanak-kanak yang ada di
situ dengan menjalankan aktiviti-aktiviti yang spontan seperti menari bersama
mereka dan bermain kerusi berirama. Ini menunjukkan bahawa mereka sangat pantas
dalam menyelesaikan masalah yang timbul. Jikalau kami hanya dibiarkan untuk
mengendalikan mereka seorang, pasti kami tidak dapat melaksanakan tanggungjawab
tersebut. Oleh sebab kami bekerjasama, perkara yang kelihatan sukar dapat kami
tangani dengan mudah, malah kami seronok dan tidak menganggap itu sebagai satu
beban.
Selain dapat merapatkan hubungan dengan pelajar-pelajar
Sains Bioperubatan yang lain, kami dapat berkenalan dengan kanak-kanak Orang
Asli yang pelbagai ragam. Hasil bantuan Dr. Puah Suat Moi, selaku penasihat
untuk program Jalinan Masyarakat ini, kami dapat menjayakan program ini
walaupun ini merupakan kali pertama kami mengendalikan program sebegini dari
awal. Saya berpuas hati kerana memang pada mulanya saya berasa khuatir apabila
dimasukkan ke dalam Biro Publisiti, Multimedia dan Teknikal kerana saya tidak
berpengalaman, tapi saya dapat menjalankan tugas hasil pertolongan daripada
rakan-rakan yang lain. Akhir kata, gambaran perasaan yang dapat dilahirkan
ialah kami semua berasa penat tetapi berpuas hati dan gembira. Pengalaman baru
dapat ditimba dan walaupun kami baru sahaja habis menjalankan projek tersebut,
saya berasa rindu dengan suasana bersama mereka. Hati berasa sayu apabila kami
pulang menaiki bas, kami dapat melihat kanak-kanak yang ada di situ pulang ke
rumah mereka. Yang masih kecil mungkin tidak ingat akan kami, tetapi yang
pastinya saya akan mengingati mereka. Mungkin saya tidak akan mengingati nama mahupun
muka setiap seorang, tetapi pengalaman bersama mereka tidak dapat ditukar
dengan yang lain. Jika ada peluang, pastinya saya ingin pergi melawat dan
berinteraksi dengan mereka lagi.
(996 patah perkataan)
Comments
Post a Comment