Nurul Syafawati binti Zaini (MIC170039)

GIG 1005: JALINAN MASYARAKAT
Penulisan Reflektif
PERJALANAN KAMI: DESA TEMUAN BUKIT LANJAN

Nurul Syafawati binti Zaini (MIC170039)                                                                             5 Mei 2018
Sewaktu kami masih lagi termangu-mangu, terkial-kial dengan urusan semester satu kami, penyelaras program Jalinan Masyarakat untuk semester dua nanti, Dr. Puah Suat Moi, datang menemui kami. Beliau menerangkan sedikit sebanyak berkenaan kursus yang bakal kami ambil itu. Beliau berkata, jika boleh, segala perancangan untuk program ini perlu bermula lebih awal daripada senior kami. Kami menerima baik niat beliau meskipun fikiran kami masih kosong daripada apa-apa bayangan berkenaan program ini. 

Setelah tiba pada waktunya, semester dua sudah menjelmakan diri. Dr. Puah, segera melantik beberapa ketua dan mengasingkan kami ke dalam beberapa kumpulan kecil untuk kami menjana idea akan aktiviti kemasyarakatan yang ingin dijalankan kelak. Ketua-ketua kami menghantar beberapa cadangan kepada Dr.Puah melalui ‘e-mail’. Antaranya, mengagihkan makanan kepada gelandangan, membersihkan sekolah atau rumah-rumah, melawat wad kanak-kanak di hospital, dan aktiviti di perkampungan orang Asli. Secara tiba-tiba, kami mendapat informasi terbaharu daripada pihak Citra, bahawa format sukatan pelajaran untuk kursus ini sudah berubah kepada muka baharu, di mana kami perlu menjalankan satu sahaja program yang boleh memberikan impak dua hala, bukan sahaja kepada kami yang memberi tetapi kepada orang menerima program kami juga dan impak itu perlu satu impak yang jangka panjang. Oleh yang demikian, Dr. Puah mencadangkan kami untuk menjalankan aktiviti di perkampungan Orang Asli.

Kami yang masih lagi terkejut dengan perubahan itu, bertindak memilih majlis tertinggi untuk program Jalinan Masyarakat ini. Pada awalnya, agak susah untuk mendapatkan bantuan semua orang kerana ramai yang tampaknya tidak yakin dan tidak bersedia untuk memegang jawatan tinggi. Rakan saya, Farrhan dilantik oleh suara majoriti sebagai pengarah program. Efarina, dengan rela hati menawarkan dirinya untuk memenuhkan jawatan setiausaha. Kemudian, beberapa rakan saya telah dipilih sebagai ketua-ketua biro (Alice; Biro Hubungan Luar, Choo; Biro Protokol dan Aktiviti; Yen Yee; Biro Teknikal dan Logistik, Afiqah; Biro Makanan dan Tugas-tugas Khas, Lai; Biro Dana). Manakala, saya sendiri menawarkan diri sebagai bendahari. Kemudian, ruang dibuka untuk rakan-rakan lain memilih biro yang diminati. Setelah itu,bermulalah gerak kerja kami demi menjayakan misi yang satu ini. 

Terdapat beberapa cabaran yang terpaksa kami hadapi sewaktu dalam fasa perancangan. Semuanya bermula dengan kekeliruan kami untuk menembusi kampung Orang Asli. Kami tidak tahu prosedur yang betul untuk itu. Kerja kami tertangguh untuk beberapa hari disebabkan hal itu. Namun begitu, berkat kerjasama dan bimbingan Dr. Puah kami dapat menyelesaikan kekusutan itu. Alice dan Efarina terus menyiapkan segala kertas kerja yang diperlukan. Kami perlu menanti beberapa hari untuk mendapatkan pengesahan daripada pihak bertanggungjawab iaitu, pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli(JAKOA). Kerja kami tertangguh lagi. Akhirnya, berita gembira menyapa kami. Pihak JAKOA telah memberi kelulusan dan menamakan satu kampung untuk projek kami, iaitu, Desa Temuan Bukit Lanjan. 

Lantas, kami mula merancang gerak kerja untuk setiap biro. Semua biro memberikan kerjasama yang padu demi misi ini. Semua memberikan komitmen mereka tersendiri walaupun masing-masing sibuk dengan masalah sendiri. Kami telah melakukan lawatan tapak ke Desa Temuan dan dari situ kami mendapat satu ‘booth’ sewaktu Hari Terbuka desa tersebut untuk mempromosikan program kami. Saya, Farrhan dan Efarina sebagai barisan majlis tertinggi, kami tidak menghadirkan diri ke lawatan tapak itu lantaran kerana kem pemudahcara mahasiswa yang mengikat kami. Kami dibantu oleh Encik Azman berkenaan apa yang perlu kami sediakan untuk ke sana. Kami sempat menghadapi beberapa masalah komunikasi dengan Encik Azman dan cara terbaik adalah kami terus merancang perjumpaan empat mata supaya senang dan segalanya selesai. 

Di sebalik kesibukan semua, akhirnya, segala persiapan selesai dengan jayanya. Lalu, tibalah saatnya perjalanan kami ke hari program sudah hampir menemui noktahnya. Kami tiba di sana pada awal pagi dan segala persiapan di tempat kejadian diagihkan kepada setiap orang. Kami dipecahkan kepada tiga kumpulan besar, iaitu kumpulan aktiviti ‘Explorace’, kumpulan makanan, dan kumpulan gotong-royong. Saya mengetuai kumpulan gotong-royong. Memandangkan akvitivti itu selesai lebih awal daripada waktunya, kami mula berpecah dan membantu yang lain. Di samping itu, saya turut berusaha memastikan segala aktiviti berjalan lancar seperti yang dirancangkan. 

Walaupun kehadiran kanak-kanak Desa Temuan tidak seperti yang kami rancangkan, tetapi sokongan dan perhatian yang mereka berikan itu bagaikan dua kali ganda. Kami sempat risau andainya makanan yang disediakan berlebihan. Saya sempat bingung sekejap apabila mendengarkan panggilan ‘cikgu’ daripada kanak-kanak di situ tetapi cepat sahaja panggilan itu menjadi halwa telinga saya. Saya dan rakan-rakan menikmati keseronokan bermain dan melayan keletah serta tingkah kanak-kanak di situ. Terdapat beberapa kecederaan kecil yang berlaku. Ada yang terjatuh, ada yang terkena bola sewaktu bermain, dan ada yang terluka kecil di kaki. Semua kejadian ini membuatkan kami menjadi seorang yang lebih prihatin dan peka. Kami berusaha untuk meminimumkan kesakitan yang mereka rasai. Itu menjentik perasaan kasih di dalam hati kami untuk orang lain. 

Kami, majlis tertinggi tersentak apabila kami mengesahkan bahawa sesi perkongsian oleh warga Desa Temuan tidak dapat dijalankan dan kami terpaksa memikirkan cara untuk melengahkan masa selama sejam sebelum tibanya majlis penutup. Mujurlah, kami mampu berfikir dengan pantas untuk mengadakan aktiviti menari dan bermain ‘musical chair’ bersama kanak-kanak di situ. Bersama sisa-sisa tenaga yang tertinggal, kami berjaya menutup majlis tersebut dengan jayanya. 

Penat, lelah, letih, semua itu menjadi habuan kami pada hari itu. Namun, semua itu ditebus terlebih dahulu dengan pengalaman dan kasih sayang yang kami dapat. Saya amat berterima kasih kepada semua yang terlibat. Rasa tidak senang dengan Encik Azman sebelum ini juga turut terhapus dengan bantuan yang terhingga daripada beliau. Jika tanpa beliau, mungkin program ini tidak akan berjalan selancar itu. Segala dorongan dan bimbingan yang tiada henti daripada Dr. Puah juga terlalu berharga untuk kami. Walaupun Dr. Puah cuba untuk memastikan segalanya berlaku berkat usaha kami, beliau tetap berusaha untuk menyenangkan tugas kami. Semangat beliau juga menjadi semangat kami. Jujur saya katakan, saya tidak dapat melihat usaha rakan-rakan, saya tidak bersama rakan-rakan sepanjang masa untuk menilai usaha mereka, tetapi, semuanya dapat saya rasai. Keikhlasan dan usaha mereka sampai ke hati saya. Untuk itu, saya amat menghargai segala penat lelah yang mereka curahkan untuk program ini. 

Saya tidak tahu sejauh mana keberkesanan program yang kami jalankan kepada kanak-kanak di sana. Saya hanya mampu berdoa dan berharap mereka dapat sesuatu jauh di sudut hati mereka. Bukan keseronokan bermain semata, tetapi ilmu, tidak kisahlah sekecil mana pun. Usaha itu kecil sahaja tetapi kita tidak pernah tahu betapa besar ‘kecil’ itu untuk orang lain. Biarlah ia menjadi seperti itu untuk program kami ini.
                                                                                              (1020 patah perkataan)

Comments