GIG1005- JALINAN MASYARAKAT
PENULISAN REFLEKTIF
JALINAN MASYARAKAT DI KAMPUNG DESA TEMUAN,
BUKIT LANJAN,SELANGOR.
BUKIT LANJAN,SELANGOR.
NUR
FARIHAH BINTI MOHD ZAIRI (MIC170030) TARIKH:30/4/2018
Merenung ke luar jendela dengan sisipan teh di pagi hari yang segar
terus membuatkan fikiran ku terbang meniti kenangan yang baru saja aku alami.
Tidak mahu kenangan itu terlepas, takut ditelan memori ku yang seketika,
lalu,laju jari jemari aku menaip bait bait kenangan pada komputer ribaku yang
berada di hadapan aku. Fikiran aku terimbas pada hari pertama aku diperkenalkan
dengan subjek yang tidak pernah aku dengar tapi sangat menarik perhatian aku
iaitu subjek ‘Jalinan Masyarakat’. Subjek ini merupakan subjek universiti dan
wajib diambil oleh semua pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda Sains
Bioperubatan dan juga untuk pelajar kursus lain. Walaupun subjek ini diambil
pada semester kedua tetapi penyelaras subjek jalinan masyarakat ini iaitu Dr.
Puah Suat Moi mengambil langkah yang sistematik dengan mendedahkan kepada aku
dan rakan-rakan tentang subjek ini pada
semester satu supaya kami dapat membuat perancangan tentang program apa yang
kami hendak laksanakan. Garis panduannya adalah program yang kami harus lakukan
itu mestilah berasaskan komunikasi dengan orang luar supaya objektif ‘jalinan
masyrakat’ itu tercapai.Dengan bantuan daripada Dr Puah yang memberi gambaran
kepada kami dengan menunjukkan video program yang dihasilkan oleh senior,
akhirnya kami dapat mencari idea yang bernas dan lain daripada apa yang senior
kami telah hasilkan iaitu mengadakan program bersama komuniti orang asli.
Apabila masuk semester dua , lantas aku dan rakan-rakan membuat gerak
kerja. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang dipanggil sebagai biro.
Aku merupakan ahli untuk Biro Dana. Tugas kumpulan aku adalah untuk mencari
sumber kewangan yang akan digunakan untuk membeli keperluan dalam menjayakakan
program ini.Setiap kumpulan juga diarahkan untuk mencari lokasi Perkampungan
Orang Asli yang sesuai untuk kami membuat program di sana. Setelah mencari
informasi di internet ,menghubungi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk
bertanyakan dengan lebih lanjut tentang lokasi yang sesuai dan menghantar surat
permohonan kepada pihak yang terbabit, akhirnya kami dikonfirmasikan dan
diluluskan oleh pihak JAKOA untuk
mengadakan program kami iaitu di Desa Temuan, Bukit Lanjan pada 29 April 2018.
Tidak mahu membuang masa yang ada, pada awal bulan Mac, ketua biro aku
iaitu Lai Man Hui mula membahagikan kerja kepada 6 ahli kumpulannya termasuk
aku. Langkah pertama yang kami ambil adalah menyenaraikan agenda dan senarai
untuk mencari sumber dana seperti syarikat -syarikat yang boleh menawarkan
tajaan. Selepas selesai menyenaraikan syarikat-syarikat yang ada, kami
menghubungi dan menghantar surat rasmi melalui email kepada syarikat-syarikat
tersebut. Namun, kami gagal menerima maklum balas daripada syarikat-syarikat
tersebut. Tetapi, hal itu tidak mematahkan semangat kami untuk mencari dana.
Kami mengambil langkah lain dengan membuat perkhidmatan membasuh kereta di
fakulti. Kami dibantu oleh rakan-rakan sekelas yang lain bersama-sama membasuh
kereta. Kami bersyukur kerana dikurniakan rakan-rakan yang sangat memahami dan
bekerjasama dengan kami untuk mencapai target dana yang kami perlukan. Dengan
berkat kerjasama dan sokongan mereka, pada hari itu kami berjaya mendapatkan
lebih kurang tujuh ratus ringgit. Kami juga menjual baju untuk mendapatkan
dana. Daripada hasil penjualan baju itu, kami berjaya mendapatkan lebih kurang
tiga ratus ringgit keuntungan. Banyak persiapan yang kami lakukan sepanjang
bulan Mac dan April untuk menjayakan program ini.
Bila tibanya hari dinantikan, aku berasa sangat teruja untuk bertemu
dengan kanak-kanak dan komuniti Desa Temuan. Hal ini kerana, ia adalah
pengalaman pertama aku pergi berinteraksi dengan Komuniti Orang Asli. Bila
tibanya di Desa Temuan, darah teruja itu makin meningkat selepas melihat wajah
kanak-kanak ceria sedang berlari mengelilingi dewan. Lantas aku segera menegur
mesra dengan seorang kanak-kanak perempuan yang sedang sibuk berkejaran dengan
rakan-rakannya. Dia membalas teguran ku dengan senyuman mesra. Selepas itu, aku
terus bergerak ke arah dapur kerana tugas aku pada hari itu adalah menyediakan
makanan. Aku dan rakan-rakan memulakan kerja dengan membasuh peralatan memasak
untuk memastikan makanan yang kami sediakan tidak tercemar. Kami menyediakan
sandwich sardin dan telur yang sedap kepada kanak-kanak Desa Temuan . Kami juga
berasa sangat bersyukur kerana kami dibantu oleh pelajar fakulti undang-undang
dalam menyediakan makanan. Ada juga pensyarah daripada fakulti kami datang
untuk memberi sokongan kepada program kami dan memberi sumbangan dari segi
makanan tengahari dan cenderahati kepada kanak-kanak Desa Temuan. Selepas habis
sahaja menyediakan makanan, laju kaki aku melangkah keluar dari dapur terus ke
arah kanak-kanak yang sedang bermain aktiviti ‘explorace’. Seronok aku melihat
telatah mereka. Ada yang terlebih teruja, ada juga yang bermain dalam diam.
Selepas selesai aktivit ‘explorace’, tiba masa kanak-kanak itu untuk menjamah
makanan yang kami sediakan. Aku sangat berpuas hati dan gembira apabila
mendapat reaksi yang memuaskan daripada kanak-kanak itu ketika menjamah makanan
yang kami sediakan.
Selepas sesi makan berakhir, aku dan rakan-rakan mengemas dan
membersihkan kawasan dapur, dan mengutip sampah di sekitar kawasan itu. Pada
pukul 12.30 tengahari, semua ahli biro dan kanak-kanak komuniti Desa Temuan
masuk ke dalam dewan untuk melakukan aktiviti yang seterusnya, Tanpa dirancang,
aku menjadi bidan terjun sebagai fasilitator untuk kumpulan 4 untuk membantu
rakanku Jasmin. Yang membuatkan aku terhibur adalah kanak-kanak itu memanggil
aku dan rakanku sebagai ‘cikgu’. Kami membuat aktiviti kerjaya dalam kumpulan.
Hal ini bertujuan untuk mendedahkan kepada kanak-kanak itu tentang kerjaya yang
mereka boleh ambil apabila besar nanti. Kami juga memberi nasihat kepada
kanak-kanak itu supaya mereka belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita
yang mereka impikan. Kami juga memberi hadiah kepada mereka iaitu satu set
pensel warna dan satu set alat tulis supaya dapat membuatkan mereka lebih
bersemangat.Pelbagai aktivit yang kami lakukan bersama kanak-kanak komuniti
Desa Temuan dan perkara ini telah membuka mata kami kepada dunia luar yang
tidak mungkin kami akan dapat di tempat lain. Kanak-kanak tersebut memberi
reaksi yang sangat memuaskan hati kami sepanjang kami mengadakan aktivit
bersama mereka.
Tepat pada pukul 4 petang program kami berakhir dengan memberi hadiah
kepada pemenang-pemenang aktiviti ‘explorace’ dan cabutan bertuah. Selepas itu,
kami bersama-sama membersihkan kawasan sekitar supaya tidak ada sampah yang
kami tinggalkan. Pada pukul 4.30 petang, kami menaiki bas pulang ke UM dengan
perasaan gembira. Kesimpulan daripada program ini, aku dan rakan-rakan dapat
belajar banyak perkara terutama cara untuk berkomunikasi dengan komuniti yang
luas. Kami sangat berterima kasih kepada Dr. Puah Suat Moi dan
pensyarah-pensyarah lain yang banyak membantu kami mejayakan program ini.
Matlamat subjek Jalinan Masyarakat akhirnya tercapai.
(1000 patah perkataan)
Comments
Post a Comment