GIG1005 JALINAN MASYARAKAT
PENULISAN REFLEKTIF
PROGRAM JALINAN MASYARAKAT DI DESA
TEMUAN
NURUL AQIDAH BINTI SENIN (MIC170037) TARIKH: 3 MEI 2018
Pada tanggal 29 April 2018, program
jalinan masyarakat anjuran pelajar sains bioperubatan telah diadakan bertempat di
Kampong Desa Temuan. Program ini mempunyai tujuan tersurat untuk memenuhi jam kredit
para pelajar . Namun begitu, pelbagai tujuan tersirat yang boleh dikupas iaitu untuk
mendedahkan kepada para pelajar tentang kepentingan aktiviti sukarelawan dalam
masyarakat serta memberi kesedaran akan tanggungjawab yang digalas oleh pelajar
untuk membantu masyarakat.
Langkah perangkaan projek ini
bermula dari taklimat Doktor Puah Suat Moi, penyelaras subjek Jalinan Masyarakat
pada akhir semester pertama. Pada ketika
itu, kami tidak tahu akan kewujudan subjek ini malah masih tidak mengenali Dr
Puah. Kami diminta untuk memikirkan projek sukarelawan boleh dianjurkan. Bermula
semester kedua, bermulalah kelas jalinan masyarakat bersama Dr Puah Suat Moi.
Pada awalnya, kami dibahagikan kepada 5 kumpulan dan setiap kumpulan diminta
untuk merancang satu aktiviti sukarelawan. Pada ketika ini, gerak kerja kami
sangat perlahan. Hal ini berkemungkinan kerana pembahagian kumpulan telah
membataskan idea kami atau mungkin kerana kami yang masih samar-samar dengan
subjek ini. Beberapa cadangan aktiviti telah dibincangkan seperti mengemas
surau. Namun begitu, selepas beberapa ketika, Dr Puah mencadangkan untuk membuat satu projek besar
bersama, tanpa pecahan kumpulan. Projek yang dicadangkan adalah melawat kampung
orang asli. Kami membuat undian dan ternyata majoriti daripada kami lebih gemar
untuk membuat projek bersama. Mungkin kami berfikir perkara yang sama iaitu,
‘jika usaha kami disatukan, lebih senang sesuatu kerja dilakukan dan lebih
besar hasilnya.’ Setelah mencapai kata sepakat, kami melantik majlis tertinggi beserta ketua biro.
Beralih kepada agenda kami yang seterusnya, mencari kampung orang asli untuk dilawati.
Kami bekerjasama mencari kampung orang
asli yang sesuai di mana, tidak terlampau jauh dan masyarakatnya bersifat
terbuka untuk menerima orang luar. Kami mencari maklumat di internet dan cuba
mendapatkan cara untuk menghubungi mereka. Namun begitu, kami mengambil langkah
yang salah. Setelah mengkaji, kami mendapat tahu bahawa perlu berhubung dengan
pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) terlebih dahulu. Tanpa membuang masa ,
kami membuat panggilan terus ke JAKOA untuk mengetahui langkah yang perlu kami
lakukan. Pihak JAKOA meminta kertas kerja daripada pihak kami. Mengenangkan
masa yang semakin suntuk, kami membahagikan kumpulan kepada beberapa biro untuk
mempercepatkan gerak kerja. Saya memilih untuk berada dalam biro aktiviti.
Beberapa minggu setelah menghantar
kertas kerja kepada JAKOA, kami mendapat berita gembira iaitu kertas kerja telah diluluskan dan kampung orang asli telah
ditetapan. Oleh itu, bermulalah gerak kerja setiap biro. Sebagai ahli biro
aktiviti, kami mula merancang aktiviti-aktiviti program dan cuba memasukkan
unsur-unsur akademik serta nilai murni . Antara aktiviti yang kami cadangkan
ialah “puzzle”, mengajar kanak-kanak untuk menjadi kreatif, “hide and seek”,
mengajar bendera-bendera negeri di
Malaysia dan aktiviti “Sinking Bowl”, mendedahkan teori apungan serta menajamkan minda untuk merancang strategi. Akiviti yang
dicadangkan oleh saya adalah “bola beracun” yang mengajar untuk bersifat daya
saing . Pada perjumpaan yang seterusnya kami membentangkan idea kami kepada
ahli kelas untuk dinilai. Kebanyakan idea kami dipersetujui ramai.
Namun begitu, biro kami mendapat
kejutan apabila diminta menambah aktiviti untuk pameran di Desa Temuan. Pameran
itu bertujuan untuk mendedahkan kepada penduduk kampung akan program pada 29
April 2018. Kami mencadangkan beberapa permainan seperti “math game” dan lego
untuk menarik minat penduduk kampung ke tapak pameran kami. Walaupun saya tidak
dapat hadir ke pameran itu, saya mendapat berita daripada rakan yang pergi
bahawa segalanya berjalan dengan lancar.
Hari demi hari berlalu, hari yang
kami nantikan makin menghampiri. Setiap biro sibuk dengan persiapan
masing-masing. Sebagai biro aktiviti, kami mula menyediakan bahan-bahan untuk
permainan yang diaturkan. Kami membahagikan ahli kami kepada empat kumpulan
dimana satu kumpulan mengendalikan satu permainan. Saya telah ditugaskan
mengendalikan bola beracun. Seminggu sebelum projek , ahli biro aktiviti telah
berkumpul dan mempersembahkan permainan masing-masing . Kami bersama-sama
memberi komen dan mengemaskan kembali apa yang perlu dikemaskan. Pada 27 April
2018, dua hari sebelum projek, kami melakukan “run test” bersama ahli biro yang lain. Ketika ini, kami
telah merasa kehangatan projek ini. Keesokan harinya, saya dan beberapa orang
ahli telah pergi ke Desa Temuan untuk melawat tapak dan merancang lokasi
“checkpoint”. Pada mulanya, saya masih ragu-ragu untuk bergaul dengan
kanak-kanak di sana, namun demikian, mereka sangat bersifat terbuka dan
menyenangkan saya untuk bergaul bersama. Ternyata bermain dengan mereka
membuatkan saya gembira juga penat pada masa yang sama.
Hari yang kami nantikan telah tiba.
Kami bertolak daripada Universiti Malaya pada pukul 7.45 am ke Desa Temuan.
Sampai disana, persediaan aktiviti mula dilakukan. Sebahagian daripada kami
mula menyediakan makanan dan sebahagian lagi mula menyediakan “checkpoint”
aktiviti masing-masing. Ketika melakukan persediaan, saya diberitahu oleh rakan
saya bahawa ada kanak-kanak yang mencari saya. Kanak-kanak itu adalah
kanak-kanak yang bermain dengan saya semasa lawat tapak. Saya berasa terharu
kerana mereka masih mengingati saya. Pada pukul 9 am kami memulakan aktiviti
dengan zumba yang dikendalikan oleh pelajar perundangan UM. Program “explore
race” menyusul selepas Zumba. Bermulalah tugas saya sebagai penjaga
“checkpoint”. Ternyata, untuk menerangkan permainan ini kepada kanak-kanak
bukanlah mudah. Hal ini kerana, permainan ini merupakan sesuatu yang baru untuk
mereka. Oleh itu, saya perlu menerangkan secara teliti dan dalam bahasa yang
mudah difahami. Namun begitu, mereka bermain dengan gembira dan penuh semangat.
Disebabkan permainan ini agak bahaya, ada segelintir yang mengalami cedera
ringan seperti sakit tangan dan kaki akibat terkana bola yang laju. Tetapi,
mujurlah kesakitan itu tak bertahan lama. Aktiviti bola beracun merupakan
antara aktiviti yang disukai ramai. Saya berasa gembira kerana aktiviti yang
saya cadangkan disukai bukan sahaja oleh kanak-kanak namun ahli jawatankuasa
sendiri. Walaupun pelbagai masalah yang timbul pada hari kejadian, kami dapat
atasi dengan baik.
Aktiviti di Desa Temuan tamat pada pukul 4.00 pm.
Walaupun keletihan, kami berasa amat puas hati kerana projek yang telah lama dirancang
dapat dijayakan. Melihat wajah kegembiraan kanak-kanak di sana apabila bermain
dan mendapat hadiah mengubati keletihan kami.
Pengalaman yang sangat berharga ini tidak akan saya lupakan. Aktiviti
ini membuka mata saya bahawa kanak-kanak adalah harta yang sangat berharga
untuk negara. Jika dididik dengan cara yang betul, mereka mampu membawa
pembaharuan kepada masyarakat, namun jika sebaliknya, mereka akan membawa
masyarakat ke lembah kehancuran. Oleh itu, pendidikan amatlah penting. Namun, tugas
mendidik bukan hanya terletak pada guru
dan ibu bapa sahaja malah merupakan tanggungjawab masyarakat.
(1000
patah perkataan)
Comments
Post a Comment