Muhammad Haziq Ruzaini bin Abdullah (MIC170023)


GIG 1005 JALINAN MASYARAKAT
PENULISAN REFLEKTIF
JALINAN MASYARAKAT DI KAMPUNG DESA TEMUAN,BUKIT LANJAN,SELANGOR.

MUHAMMAD HAZIQ RUZAINI BIN ABDULLAH (MIC170023)                    TARIKH: 29/4/2018

     Jalinan Masyarakat merupakan satu kursus universiti yang diwajibkan kepada semua pelajar Sarjana Muda. Anjakan paradigma yang diambil oleh sistem universiti telah menyaksikan perubahan dalam gaya kursus ini dikendalikan bagi sesi 2017/2018. Justeru itu,kami hendaklah merancang satu aktiviti jangka panjang yang berupaya untuk mengubah masyarakat ke arah yang lebih baik. Atas cadangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA),Kampung Desa Temuan,Bukit Lanjan,Selangor menjadi lokasi pilihan kami kerana kedudukannya yang strategik.
     Pertama sekali sebelum saya pergi ke Kampung Desa Temuan ini,pada 29 April, saya telah didedahkan dengan situasi sebenar perkampungan orang asli pada 25 Mac 2018. Saya mengikuti rombongan seramai 9 orang pelajar yang diiringi oleh Dr. Kee Boon Pin,salah seorang pensyarah Universiti Malaya untuk menguar-uarkan tentang aktiviti Jalinan Masyarakat yang akan kami jalankan pada 29/4/2018. Namun pada awal sebelum pertama kali menjejakkan kaki di bumi Kampung Desa Temuan,Bukit Lanjan ini,sudah semestinya saya tertanya-tanya tentang keadaan kehidupan mereka di sana dan bagaimana mereka menjalankan aktiviti seharian mereka. Ada juga sentimen yang bermain dalam fikiran saya bahawa anak-anak orang Asli mungkin tidak dapat menerima kami dengan hati terbuka kerana kami merupakan orang luar bagi mereka. Namun,lawatan pertama sekali ke sana membuka mata saya tentang keadaan kehidupan orang Asli, Pandangan stereotaip yang ada dalam benak fikiran saya berkenaan kehidupan orang Asli yang sangat mundur dan hanya tinggal dalam rumah papan hanya satu pandangan yang meleset sama sekali. Hal ini demikian kerana,kehidupan mereka sudah mencapai tahap kemajuan yang agak sama seperti kehidupan masyarakat normal. Saya juga amat terharu dengan sambutan baik yang ditunjukkan oleh orang kampung tersebut terutamanya golongan kanak-kanak mereka yang sangat peramah dan mudah untuk didekati.
     Saya merupakan ahli Biro Aktiviti yang ditugaskan untuk menyediakan satu permainan bagi salah satu stesen dalam permainan ‘Explorace’ dan drama berkaitan kepentingan mencuci tangan dengan betul. Bagi menjimatkan kos perbelanjaan,saya dan rakan sekuliah,Arvin telah mengambil keputusan untuk membuat sendiri puzzle bagi digunakan sebagai permainan di stesen ‘Explorace’.Bagi Drama Sains pula,saya memainkan watak sebagai budak lelaki yang mengalami komplikasi keracunan makanan akibat tidak mencuci tangan dengan betul walaupun telah dipesan oleh ibunya yang dimainkan oleh Aqidah. Sudah tentunya,saya agak gementar apabila memikirkan situasi di mana saya perlu berlakon di atas pentas tetapi saya tahu yang apa-apa perkara yang hendak dibuat mestilah didekati dengan minda yang positif. Saya juga ada mengikuti rombongan biro lain untuk membeli ‘hand sanitizer’ supaya dapat diedarkan kepada kanak-kanak pada hari kejadian ketika sesi pembelajaran cara mencuci tangan yang betul. Antara aktiviti lain yang dikelolakan oleh ahli Biro Aktiviti seramai 11 orang ialah ‘Hide and Find’,’Sinking bowl’ dan Bola Beracun.
     Pada pagi hari kejadian bersamaan tanggal 29 April 2018,perasaan saya tidak segementar seperti rakan-rakan saya kerana saya telah didedahkan dengan lebih awal situasi tempat yang bakal dilawat,jadi,saya sudah sedikit sebanyak tahu apa yang akan saya hadapi pada hari berikut dalam aspek keadaan sekeliling dan sikap mesra kanak-kanak di sana.Kami pergi ke lokasi kejadian dengan menaiki sebuah bas. Pada genap pukul 9 pagi,kami tiba di sana dan terus melakukan gerak kerja untuk menyediakan tempat yang sesuai untuk 4 stesen ‘Explorace’ di sekitar kawasan lapang Balai Adat, Desa Temuan.Kanak-kanak di sana dibahagikan kepada 8 kumpulan secara sama oleh Ketua Biro Aktiviti,Choo Li Yuan dan setiap kumpulan diikuti oleh 2 orang fasilitator yang akan membantu mengawal pergerakan kanak-kanak dari satu stesen ke stesen yang lain. Saya dan Arvin ditugaskan untuk menjaga ‘checkpoint’ 2 iaitu stesen puzzle. Semasa saya mengawasi aktiviti itu,pelbagai gelagat dan adegan ditampilkan oleh kanak-kanak. Sebahagian besar daripada kanak-kanak yang bermain permainan puzzle yang berkonsepkan segi tiga ini mempunyai masalah dalam menyelesaikan puzzle berikut sehingga mereka perlu dibantu oleh fasilitator. Namun begitu,ada juga kanak-kanak yang begitu cerdik dan pantas dalam menyiapkan puzzle berikut sehingga mereka diberi markah bonus. Apa yang paling mencuri perhatian saya ialah walaupun sebahagian besar mereka menganggap puzzle ini susah,mereka tetap bekerjasama sebagai satu kumpulan,cuba sedaya upaya menyiapkannya dan hal ini memang membuat diri saya terharu dan bangga dengan semangat tidak mudah putus asa yang mereka tunjukkan. Setelah selesai aktiviti Explorace,kami perlu menunggu selama 1 jam 30 minit untuk acara Eksperimen dan Drama berlangsung. Dalam masa lapang ini,saya telah ditugaskan oleh Choo untuk mengira markah Explorace bagi setiap kumpulan. Dalam pukul 1 petang,aktiviti eksperimen berkaitan keburukan merokok dan drama berkisarkan kepentingan mencuci tangan berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Dalam kerancakan berlangsungnya aktiviti-aktiviti ini,satu peristiwa yang tidak diduga berlaku di mana seorang kanak-kanak cedera di bahagian mata sehinggakan dia perlu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya(PPUM) untuk pemeriksaan selajutnya. Kanak-kanak itu dibawa oleh koordinator kursus kami iaitu Dr. Puah dan ditemani oleh Fadhil. Alangkah leganya apabila mendengar yang kanak-kanak itu tidak mengalami kecederaan yang serius. Aktiviti penutup bermula tepat pukul 3 petang di mana acara ucapan, penyampaian hadiah dan cabutan bertuah berlangsung. Pemenang bagi kategori Explorace ialah Kumpulan 3. Gembira hati saya apabila melihat senyuman yang meleret terpampang di wajah-wajah kanak-kanak orang Asli yang sungguh gembira mendapat hadiah berbentuk hamper atas kejayaan mereka. Setelah semua selesai,sesi fotografi dijalankan sebagai salah satu tanda kenangan kami bersama-sama kanak-kanak orang Asli di kampung ini. Pada pukul 4.30 petang,kami bertolak balik ke Universiti Malaya setelah perkarangan dewan dikemaskan.
     Setelah mengikuti aktiviti Jalinan Masyarakat ini,minda saya lebih terbuka dan sedar akan perkembangan dalam pelbagai aspek yang dialami oleh masyarakat Kampung Desa Temuan ini. Pendidikan juga sudah menjadi satu tunjang kehidupan kepada mereka di mana hampir kesemua kanak-kanak berdaftar bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan yang terletak berhampiran dengan lokasi aktiviti berlangsung. Walaupun agak penat setelah seharian bertungkus-lumus dalam memastikan semua kerja yang ditugaskan dilakukan dengan jayanya,saya berasa sangat bertuah dan bersyukur kerana telah diberi kesempatan untuk belajar benda baharu yang sebelum ini saya tidak tahu akannya. Saya juga merasakan hubungan persaudaraan antara masyarakat orang Asli juga dapat diperat. Saya juga sedikit sebanyak belajar tentang peri-pentingnya nilai kerjasama dan bertanggungjawab dalam diri bagi memastikan sesuatu program dapat dijalankan dengan baik. Hubungan baik dengan rakan sekuliah dan pensyarah juga dapat dijalinkan melalui aktiviti Jalinan Masyarakat ini. Melalui kursus ini juga,saya sudah semestinya akan cuba mencari peluang yang lain untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan pada masa depan agar dapat menimba pengalaman baharu yang berharga sekaligus mematangkan diri saya demi menjadi modal insan yang terbilang.  


                                                                                                                                (999 patah perkataan)

Comments