GIG 1005 JALINAN MASYARAKAT
Esei Reflektif
Program bersama Kanak-Kanak Orang Asli Desa Temuan, Bukit Lanjan
Mentari yang digantikan rembulan. Siang yang diselangi malam. Inilah kehidupan yang terus mencorakkan langkah tanpa bertanya, “Adakah kita bersedia atau tidak?”. Sepantas angin yang bertiup, kehidupan berlalu, sarat dengan nilai-nilai kemanusiaan yang dibawa bersama, sekali gus menjadi saksi akan nasib dan takdir yang unik bagi setiap insan. Sebagai salah satu elemen yang wujud dalam kitaran roda kehidupan ini, dapat saya kontemplasikan bahawa bukan semua manusia terlahir bersama kemewahan dan kelengkapan yang serba-serbi. Ada yang disambut kepapaan, kecacatan dan keterpencilan tempat tinggal yang di mana menjadi penghalang kepada mereka untuk bersinar di atas nama pendidikan.
Program Jalinan Masyarakat yang melibatkan kolaborasi antara pelajar tahun pertama jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan dengan orang asli Desa Temuan, Bukit Lanjan, merupakan salah satu inisiatif yang dapat saya sumbangkan dengan komited dalam memberi pencerahan secara kasar mengenai kepentingan ilmu dan pendidikan kepada kanak- kanak yang menetap di perkampungan tersebut. Pada awal kedatangan kami ke sana, kami hanya disambut oleh tatapan dan pandangan yang segan penduduk-penduduk di situ. Ia adalah sesuatu yang melegakan apabila beberapa ketika kemudian, setelah dua tiga kali cubaan untuk mendekati mereka, barulah rata-rata kanak-kanak di situ mula menunjukkan minat dan reaksi yang baik dengan kehadiran kami.
Dengan bermulanya aktiviti zumba dan ‘explorace’, suasana yang pada mulanya agak sepi dan pasif akhirnya dipenuhi dengan gelak-ketawa kanak-kanak Desa Temuan yang kebanyakannya dalam lingkungan 5 tahun hingga 12 tahun. Mereka memberikan respons yang sangat memberangsangkan dalam setiap permainan yang diadakan, bahkan ada sebahagian yang ingin mencuba permainan yang sama buat beberapa kali. Semangat persaingan yang mereka tunjukkan amat tinggi, lebih-lebih lagi apabila mereka mendapat tahu hadiah-hadiah menarik yang telah kami sediakan seperti beg sekolah, alat tulis, hamper
dan sebagainya. Sesungguhnya, ternyata kanak-kanak di sini sama sahaja seperti kanak-kanak di luar sana. Buktinya, mereka mempamerkan inkuisi yang dalam dan potensi yang besar dalam mempelajari perkara dan benda-benda yang baharu bagi mereka. Pelbagai soalan telah mereka kemukakan ketika sesi eksperimen sains mini. Walaupun penjelasan yang diberikan mungkin tidak difahami dengan sepenuhnya, mereka tetap tekun mendengar dan cuba memahami sedikit demi sedikit. Untuk menjana pemikiran kanak-kanak tersebut untuk berusaha memasang angan-angan yang jitu semenjak kecil, ceramah kerjaya ringkas da sesi soal-jawab yang santai telah dilaksanakan selepas sesi makan tengah hari. Kami mendapati ada antara mereka yang ingin menjadi polis, askar, doktor gigi bahkan ada juga yang bercita-cita untuk menjadi penyanyi.
Selain daripada itu, sesi kraf tangan yang sepatutnya dianjurkan oleh penduduk-penduduk Kampung Lanjan telah dibatalkan atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dihalang. Justeru, pihak kami membuat pelan sandaran dengan mengadakan nyanyian dan acara rebut kerusi bersama-sama kanak-kanak tersebut. Pada saat ini, kami dapat menyaksikan pelbagai telatah dan ragam kanak-kanak tersebut yang di mana ada yang mencuit hati kami serta ada juga yang menguji kesabaran.
Secara keseluruhan, meski program yang telah saya dan rakan-rakan adakan ini hanyalah 10% daripada usaha untuk memajukan dan meningkatkan lagi tahap pendidikan orang asli Desa Temuan, kami tetap berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh mereka semua. Ia adalah sesuatu hakikat yang menyedihkan apabila hanya segelintir daripada kanak-kanak tersebut yang menguasai dan mempunyai asas yang kukuh dalam bidang ilmu sains dan matematik. Namun, setelah meluangkan hampir separuh hari bersama-sama mereka, kami yakin impian agar mereka dapat menyumbang kepada masyarakat pada masa akan datang dengan ilmu yang dipelajari, mampu menjadi realiti, suatu hari nanti. Ini kerana, pada pandangan saya, mereka cuma perlu diberikan pendedahan yang lebih meluas dan holistik mengenai perkembangan moden dunia luar.
Ringkasnya, program Jalinan Masyarakat yang dianjurkan ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada masyarakat orang asli tersebut, malah saya turut dapat menimba pelbagai pengajaran yang berharga. Pengalaman dan waktu yang diluangkan bersama mereka, telah menyedarkan saya bahawa nilai manusia adalah semahal nilai matlamatnya. Justeru, saya amat menanti-nantikan program seperti ini pada masa hadapan serta berharap agar pelajar-pelajar Sains Bioperubatan sesi akan datang, dapat meneruskan legasi yang murni ini dengan jayanya.
(629 patah perkataan)
Comments
Post a Comment